‘Pelajarilah ilmu, nescaya ia akan mengawalmu dan membimbingmu di kala kecil. Dan di kala tua nanti, ia akan mengangkat dan menjadikanmu seorang pemimpin. Ilmu juga boleh memperbaiki kesilapan dan kesalahan, menundukkan musuh dan orang-orang yang iri kepadamu. Ilmu dapat meluruskan kepesongan dan kemiringan, membangkitkan semangat dan harapan’ ~ Kata-kata pujangga

ADAB MENUNTUT ILMU

1. Mensucikan hati dari fikiran kotor dan mengikhlaskan niat kerana Allah s.w.t, agar jiwanya bersedia menerima ilmu , menghafal dan mengembangkannya. Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal darah. Jika ia baik maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain. Namun jika ia rosak, maka rosaklah seluruh anggota tubuh yang lain. Ketahuilah bahawa segumpal darah itu adalah hati “

2. Memutuskan hubungan dengan segala yang melalaikan diri daripada kesungguhan menuntut ilmu. Selain itu, hendaknya seorang penuntut ilmu selalu merasa cukup dengan makanan yang ada, bersabar akan kekerasan hidup, merendahkan diri di hadapan ilmu dan guru, kerana hanya dengan sifat tawadhu’ ilmu boleh diperoleh.

Imam As-Syafie pernah berkata : “ Orang yang mencari ilmu dengan kebongkakan dan kesombongan hati, tidak akan mendapatkannya. Tetapi bila ia menuntutnya dengan kerendahan hati, kesengsaraan hidup dan bersifat tawadhu’ di hadapan ulama’, maka pastlah ia akan mendapatkannya “.

3. Berjuang tidak kenal lelah dalam belajar dan memiliki semangat yang tinggi. Selagi masih mampu mengejar ilmu yang banyak, janganlah merasa cukup dengan ilmu yang sedia ada. Janganlah menunda-nunda masa, apatah lagi dalam mencari kebaikan. Namun, jangan pula memaksa diri melakukan sesuatu yang sulit, kerana hal itu terkadang akan membuatkan jemu. Namun, sulit atau tidak sesuatu perbuatan itu, bergantung kepada kemampuan masing-masing.

dipetik dari buku

‘Aku, Buku dan Cinta’ by Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni