DI SEBALIK NAMA…..ALLAH

Allah merupakan nama Tuhan yang paling terkenal. Bayangkan di dalam Al-Quran sahaja ada menyebut sebanyak 2,698 kali. Allah sendirilah yang memberikan nama ini kepada diriNYA, sebagaimana yang disebut dalam surah Taha ayat 14. “ Sesungguhnya aku adalah Allah, tiada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku.”

Lafaz Allah yang berasal dari perkataan ilah, adalah perkataan yang diberikan kepada semua sembahan, samada yang benar atau yang palsu. Namun kemudian ia dikhususkan hanya kepada sembahan yang benar sahaja dan tidak diberikan kepada sembahan yang lain.

Nama Allah adaah perkataan yang berasal daripada perkataan Ilahah atau Uluhah atau Uluhiyah. Semua perkataan ini mengandungi pengertian ibadah dan dimaksudkan sebagai ma’bud iaitu yang disembah.

Ada juga yang berpendapat, perkataan Jalalah ini berasal daripada alaha yang bermaksud tahaiyara yang bermaksud bingung. Ini kerana Allah menjadikan akal manusi itu terbatas dan bingung apabila memikirkan keadaanNya. Ciptaan Allah dalam alam ini juga menakjubkan dan menimbulkan rasa kagum terhadap makhlukNya. Tiada sesiapa atau kuasa pun yang dapat menandingi ciptaanNya.

Menurut pendapat lain pula, perkataan Allah berasal daripada perkataan aliha-ya’lahu yang bermaksud tenang. Ini kerana hati menjadi tenang dengan mengingati Allah. Makna lain bagi perkataan ini adalah menuju dan memohon. Ini kerana harapan semua makhluk ditujukan kepada Allah dan makhluk bermohon kepadaNya.

Disebabkan bermacam-macam pendapat mengenai asal-usul nama ‘Allah’ ini, Quraish Shihab menegaskan perkataan Allah bersifat khusus dan mempunyai keistimewaan yang tidak ada ada perkataan lain. Ini adalah nama yang mempunyai huruf-huruf sempurna, makna yang sempurna dan mempunyai keistimewaan yang berkaitan dengan rahsia dan hikmatnya. Sehinggakan ia disebutkan oleh ulama’ sebagai ‘ismu Allah al-a’dzam’ yang bermaksud ‘nama Allah yang Mulia’ dan dikabulkan doa bagi sesiapa yang menyebut nama ini di dalam doanya.

Daripada segi lafaz, keistimewaan nama Allah ini dapat dilihat apabila huruf-hurufnya dihapuskan sebutannya satu persatu. Apabila huruf pertama iaitu alif dihapuskan daripada nama Allah sebutannya menjadi lillah bermaksud ‘kerana, bagi ataupun milik Allah’. Apabila huruf pertama dari perkataan lillah dihapuskan, sebutannya manjadi lahu yang bermaksud ‘baginya’. Seterusnya apabila huruf awal daripada perkataan lahu dihapuskan, sebutannya menjadi Hu yang bermaksud ‘dia iaitu Allah’. Apabila sebutan Hu ini dipendekkan lagi, apa yang didengar adalah bunyi ah . Secara zahirnya, ianya dipandang sebagai keluhan tetapi hakikatnya ia adalah satu seruan permohonan kepada Allah.

Dalam kehidupan seharian, kita sering mendengar orang yang mendapat susah, sakit atau ditimpa musibah bila berkata sebegini, “ Ah, beratnya masalah yang aku hadapi ini’. Kata-kata ini juga lahir secara spontan. Contoh yang lain, seorang pemandu kereta yang terlanggar seorang kanak-kanak secara tiba-tiba. Kata-kata awal yang keluar dari mulutnya adalah ‘ah’.

Kesimpulannya, telah ada fitrah dalam diri manusia yang mengakui kewujudan tuhan. Didalam Al-Quran juga ada menegaskan dalam surah Az-Zumar ayat 38 yang bermaksud “Apabila orang-orang Musyrik ditanya siapa yang mencipta langit dan bumi, mereka menjawab ‘Allah’.

Dipetik dari buku,

‘99Q Kecerdasan Berasaskan Asmaul Husna’ by Sulaiman Al-Kumayi terbitan PTS