Salam,
Perkongsian ini sebagaimana biasa saya perolehi dari rancangan kegemaran saya, Rawat Hatinya Bangunlah Insan yang membicarakan sebuah tajuk sebagaimana yang dinyatakan di atas, Kunci Hati Tenang, Bersihkan Hati Selalu. Tajuk ni sudah lama tersemadi dalam buku catatan saya sehinggalah saya membaca respon mengenai penulisan sebelumnya di bawah tajuk Di Sebalik Kelemahan, Ada Kelebihan dari senior saya yang bertanya bagaimana untuk mendapatkan ketenangan dan mengekalkannya. Saya bukanlah seorang yang pakar dalam bab-bab ini tetapi harapan saya apa jua yang saya kongsikan dengan sahabat-sahabat dapat membantu serba sedikit  permasalah yang kita semua selalu alami.
Tajuk di atas dimulakan dengan Kiyai Agim yang menyebut beberapa masalah hati dan sifat buruk (mazmumah) seperti takabbur, egois, over-acting, emosional, iri hati dan jelek akhlak. Sifat-sifat buruk perlulah kita hindari. Katanya lagi, apa jua yang kita lihat, perlu sentiasa bertaubat dan taubat itu perlu berterusan kerana manusia akan terus melakukan dosa walaupun sudah bertaubat. Kita juga diajar untuk BERISTIGHFAR supaya Allah memberikan ketenangan dalam jiwa kita dan untuk menjadikan taubat kita ini ‘bagus’, kita perlu menjauhi perkara-perkara yang berpotensi untuk menjadi dosa. Kata Kiyai Agim juga, apabila seseorang itu bertaubat, hatinya tidak akan seronok dengan dosa. Kunci kepada taubat adalah penyesalan. Walaupun kita kadang-kala ‘bosan’ untuk bertaubat tetapi Allah tidak akan sekali-kali berasa bosan menerima taubat kita…Subhanallah.
Seorang penonton bertanya, apakah hati itu yang bersih itu ada kaitan dengan firasat? Lalu dijawab oleh Kiyai Agim, berhati-hatilah dengan firasat orang yang beriman kerana dia melihat dengan bimbingan Allah. Kita membersihkan hati bukanlah untuk kelihatan suci dan kita mensucikan hati bukan untuk melihat orang lain. Sungguh beruntung orang yang memelihara hatinya dan rugilah orang yang tidak memelihara hatinya.
Soalan kedua berbunyi, Bagaimana sekiranya kalau ada yang bosan dengan kebaikan? Menurut Kiyai Agim, kita tidak boleh melihatnya dalam posisi menghina tetapi dalam posisi membantu. Mungkin dia berasa bosan kerana tidak ikhlas. Jika dia ikhlas, dia akan terasa nikmatnya. Tidak ikhlas mungkin timbul kerana kurang ilmunya jadi dia tidak tahu manfaat membuat kebaikan.
Soalan seterusnya dari penonton studio, Bagaimana untuk tahu hati kita kotor? Kiyai Agim menjawab, nah, jika kita ada sifat-sifat buruk tadi seperti sombong, takabbur, itulah tandanya. Kita akan rasa gelisah kerana Allah tidak memberikan ketenangan. Hati yang bersih pun turut akan merasa gelisah, bagaimana? Gelisah kerana takut dan bimbang solatnya tidak diterima, solat tidak khusyuk, qiyamulail tidak buat… Ketenangan itu hanya dapat dicapai dengan jalan :
1.       Isilah dengan amal kebaikan
2.      Zikrullah … Dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang  
Akhir kalam, kelebihan itu perlulah kita syukuri dan kekurangan itu pula perlu kita perbaiki. Yang kita cari bukan duniawi, kebahagian itu tidak ada pada dunia dan isinya tetapi ketenangan hati itu ada pada kita.  Selalulah kembalikan apa jua kepada Allah, supaya hati menjadi tenang…
Semoge bermanfaat..
Wallahu a’lam.
2.36 a.m di KC
anie_skut87@ thariqIlalQulub. com